Malaysia pastikan pelaksanaan gencatan senjata Kemboja-Thailand

Malaysia pastikan pelaksanaan gencatan senjata Kemboja-Thailand

ANWAR Ibrahim bersama Hun Manet dan Phumtham Wechayachai selepas sidang akhbar bagi mengumumkan persetujuan untuk berdamai dan gencatan senjata antara kedua-dua negara di Putrajaya baru-baru ini. -GAMBAR/PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengetuai pasukan pemerhati ASEAN yang ditugaskan bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Perkara itu terkandung dalam dokumen mekanisme pelaksanaan gencatan senjata yang ditandatangani semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang berlangsung di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Dalam Mesyuarat GBC, kedua-dua negara mengulangi komitmen mereka terhadap gencatan senjata yang dicapai dalam mesyuarat khas pada 28 Julai lalu.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.

Menurut dokumen tersebut, kedua-dua negara mengulangi komitmen terhadap gencatan senjata dan bersetuju bahawa Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC) masing-masing akan melaksanakan pengaturan terbabit dengan diselaraskan dan dipantau oleh pasukan pemerhati ASEAN yang diketuai Malaysia.

RBC akan bermesyuarat secara berkala dan menyerahkan laporan kepada GBC melalui rangkaian perintah nasional masing-masing.

Sementara pasukan pemerhati ASEAN dimuktamadkan, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Pemerhati Interim (IOT) yang terdiri daripada atase pertahanan negara anggota ASEAN yang diakreditasi ke Thailand atau Kemboja.

IOT yang diketuai oleh atase pertahanan Malaysia akan ditubuhkan secara bebas di setiap negara untuk memantau pelaksanaan gencatan senjata tanpa melintasi sempadan.

Komposisi setiap IOT akan ditentukan oleh negara tuan rumah dengan rundingan bersama Malaysia.

Pasukan berasingan itu akan beroperasi dengan kerjasama rapat bersama RBC dan GBC masing-masing.

Thailand dan Kemboja juga bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat GBC seterusnya dalam tempoh sebulan selepas 7 Ogos 2025 di lokasi yang akan ditentukan.

Sekiranya gagal diadakan dalam tempoh terbabit, satu mesyuarat luar biasa akan dipanggil segera mengikut format yang sama seperti sesi semasa bagi membincangkan isu gencatan senjata.

Mesyuarat hari ini adalah susulan kepada mesyuarat kumpulan kerja bersama antara kedua-dua negara yang berlangsung sejak Isnin lalu bagi merangka asas perbincangan GBC.

Pada 28 Julai lalu, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menjadi tuan rumah mesyuarat yang melibatkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha di Kuala Lumpur.

Selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian gencatan senjata segera dan tanpa syarat antara Kemboja dan Thailand menandakan permulaan usaha untuk membina semula kepercayaan, keyakinan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Ketegangan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu memuncak pada 28 Mei lalu berikutan pertempuran antara tentera di kawasan sempadan Preah Vihear, yang mencetuskan semula pertikaian lama mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer (km) yang dikongsi bersama.

Pertempuran terbabit mengakibatkan 15 kematian dan lebih 100,000 orang terpaksa dipindahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN