PASIR MAS: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sepatutnya memberi keutamaan memajukan kawasannya terlebih dahulu sebelum bercakap soal pertukaran Perdana Menteri.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Nor berkata, sebagai wakil rakyat, Ketua Penerangan Pas itu sepatutnya menumpukan tenaga dan masa kepada usaha membangunkan Parlimen Pasir Mas yang masih memerlukan pelbagai kemudahan asas dan peluang ekonomi.
“Kalau benar mahu membela rakyat, turunkanlah suara lantang itu di Parlimen untuk minta lebih peruntukan, bawa pelaburan atau selesaikan masalah setempat.
“Jangan hanya jadi jaguh politik yang kerja utamanya merancang pertukaran Perdana Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Noor Hariri berkata, rakyat kini semakin muak dengan permainan politik berterusan yang hanya menguntungkan kelompok tertentu.
“Jangan jadikan Pasir Mas hanya sebagai pentas politik untuk mencari populariti nasional. Buktikan dulu kita mampu membawa perubahan di sini sebelum bercakap soal menjatuhkan kerajaan atau Perdana Menteri,” katanya,
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO negeri berkata, ketika ini negara memerlukan kestabilan politik, keyakinan pelabur dan fokus kerajaan dalam memulihkan ekonomi pasca pandemik, bukan lagi pergolakan kuasa yang berpanjangan.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, Ahmad Fadhli mencabar kerajaan supaya membenarkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat dijalankan secara sulit bagi menguji sokongan sebenar Perdana Menteri dalam kalangan ahli Parlimen.
Beliau mendakwa, sukar untuk membawa usul berkenaan ketika ini kerana semua ahli Parlimen blok kerajaan telah terikat dengan perjanjian dan menandatangani Memorandum Persefahaman bersama kerajaan. – UTUSAN










