KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, esok.
Permohonan kebenaran komital difailkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung tindakan Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan yang didakwa mengetahui kewujudan Titah Adendum tetapi memilih untuk mengelirukan mahkamah.
Sementara itu, pada pengurusan kes semakan kehakiman hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching turut menetapkan 19 September ini untuk mendengar permohonan Najib bagi meminda afidavitnya bagi memasukkan bukti tambahan berhubung Titah Adendum akan didengar pada 19 September ini.
Bukti baharu itu membabitkan afidavit anak Najib, Datuk Mohamad Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Pahang.
Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan semakan kehakiman berkait Titah Adendum itu.
Pada prosiding hari ini, kerajaan dan enam lain selaku responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Titah Adendum yang dipertikaikan dikatakan adalah titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn. Bhd.
Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara itu kepada enam tahun manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.
Pada 13 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara dan memerintahkan semakan kehakiman Najib dikembalikan dan meritnya didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi di hadapan hakim baharu.
Peguam Negara selaku perayu juga gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya.
Dalam semakan kehakiman itu Najib antara lain memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan.
Najib juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu. – UTUSAN










