PASIR PUTEH: Sistem Penentuan Lokasi Penangkapan Ikan (FSI) berasaskan teknologi satelit, menjadikan lubuk ikan ‘di hujung jari’ sekali gus membantu lebih 30,000 nelayan meraih pendapatan lumayan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Ruziah Shafri berkata, sistem FSI yang dibangungkan sejak 13 tahun itu mampu menentukan ketepatan lokasi ikan sehingga 94 peratus.
“Ia sekali gus membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan sebanyak 30 hingga 50 peratus berbanding penggunaan sonar dan eco-sounder,” katanya selepas Majlis Penutup Program Komuniti Madani Nelayan Digital di Perkampungan Nelayan Tok Bali, di sini hari ini.
Ruziah berkata, sehingga kini 1,257 bot pukat jerut dan 751 bot pukat hanyut menggunakan sistem FSI.
Katanya, FSI itu dibangunkan secara dalaman oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sejak 2012 menjadi bukti bahawa teknologi itu mampu memberi kesan langsung kepada sektor perikanan negara. – UTUSAN










