PUTRAJAYA: Lokap agensi penguat kuasa tertentu perlu dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih bagi memastikan pemantauan lebih berkesan serta dapat mengelak sebarang tohmahan terhadap integriti penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana sistem CCTV sedia ada di kebanyakan lokap kini dianggap lapuk dan berdepan isu teknikal.
Katanya, ia sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi negatif termasuk kemungkinan berlaku rasuah serta ketidakpatuhan prosedur.
“Kita mencadangkan perkara ini selepas timbul kebimbangan berhubung isu seperti rasuah, ketidakpatuhan dan kelemahan teknikal dalam amalan pemantauan sedia ada.
“CCTV khususnya yang menggunakan teknologi AI adalah penting untuk memastikan akauntabiliti, namun ia tidak sepatutnya sekadar merakam video sahaja, sebaliknya mesti disambungkan kepada sistem dan pusat kawalan yang betul,” katanya kepada pemberita dalam sesi khas bersama media di Ibu pejabat SPRM di Putrajaya di sini semalam.
Menurut Azam, satu kertas cadangan yang lebih komprehensif mengenai perkara itu akan dibentangkan kepada kerajaan untuk pertimbangan lanjut.
Selain pemantauan di lokap, beliau turut mencadangkan agar siaran langsung prosiding perbicaraan kes rasuah dipertimbangkan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap proses kehakiman.
“Salah satu cadangan ialah membenarkan siaran langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang awam dapat mengikuti prosiding tersebut,” katanya. – UTUSAN










