BATU PAHAT: Kerajaan negeri akan menyemak semula prosedur keselamatan sekolah dan mempertimbangkan langkah keselamatan lebih ketat, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berikutan kematian Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal di Yong Peng, di sini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu penting bagi memastikan insiden tragis sedemikian tidak lagi berulang di mana-mana sekolah, seluruh Johor.
Sehubungan itu katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu meneliti aspek keselamatan sekolah susulan institusi berkenaan merupakan bidang kuasa dan tanggungjawab kementerian tersebut.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan bantu tambah baik daripada segi keperluan asas, kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. Jadi perkara ini perlu diteliti dengan lebih mendalam pihak kementerian,” katanya selepas menziarahi keluarga Irene Sofiya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali.
Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira 45 menyantuni keluarga berkenaan susulan insiden kematian remaja perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, kelmarin.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya turut menyatakan sokongan dan kesediaan membantu keluarga mangsa berdepan kejadian menyayat hati itu.
“Saya juga terima maklumat bahawa suspek kejadian sudah pun ditahan reman bermula semalam, manakala pihak polis sedang membuat siasatan lanjut terhadap kes ini,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan maut di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini dipercayai dibunuh.
Manakala semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad memberitahu pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.-UTUSAN











