MELAKA: Loji pelupusan sisa klinikal baharu berteknologi terkini milik Medivest Sdn. Bhd. bernilai RM30 juta di Bukit Rambai di sini mampu mengurus peningkatan sisa sebanyak 40 peratus menjelang 2030.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, loji yang dibina pada 2020 itu berkeupayaan melupuskan sehingga 20 tan metrik sisa klinikal sehari bersamaan 6,200 tan metrik setahun.
Katanya, ia akan menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan jangka panjang berikutan peningkatan mendadak sisa klinikal di negeri ini susulan pertambahan fasiliti kesihatan swasta dan awam.
Beliau berkata, loji baharu itu juga akan memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab pengurusan sisa klinikal wilayah Selatan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan pelancong kesihatan.
“Berdasarkan data semasa setakat 31 lalu sebanyak 3.3 tan metrik sisa klinikal direkodkan berbanding tiga tan bagi tempoh yang sama pada 2024.
“Peningkatan angka ini jelas memberi isyarat bahawa kapasiti dan kecekapan kemudahan pelupusan sisa klinikal perlu sentiasa ditingkatkan dan ditambah baik sejajar dengan pertumbuhan sistem kesihatan negara yang kian pesat,” katanya selepas merasmikan Loji Pelupusan Sisa Klinikal Medivest Sdn. Bhd. hari ini.
Ab. Rauf berkata, sejak mula beroperasi, loji itu berjaya melupuskan sebanyak 15,389 tan metrik sisa klinikal, sekali gus berperanan sebagai pemacu utama pengurusan sisa kesihatan dari fasiliti awam dan swasta bagi Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Katanya, ia bukan sahaja dilengkapi teknologi canggih, malah turut menjadi wahana pemindahan teknologi melalui latihan dan pendedahan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan.
“Lebih 100 peluang pekerjaan diwujudkan menerusi pembangunan loji ini yang sekali gus merangsang ekonomi setempat terutamanya komuniti di Bukit Rambai,” katanya. – UTUSAN










