KLANG: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyeludup 19 migran warga Myanmar, tiga minggu lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Muhammad Azalmie Ahmad Razali, 25; Muhammad Irwan Syapawi Che Hamid, 34; Mazlan Derahman, 39; Hazif Yusof, 46, dan Mohamad Yusof Zulkipli, 29.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dalam mencapai niat bersama telah menyeludup 19 migran warga Myanmar.
Perbuatan itu dilakukan di Blok S, Apartment Taman Megah Cheras, Hulu Langat, kira-kira pukul 8 pagi, 5 Ogos lalu.
Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding itu, pendakwaan ke atas empat warga Myanmar termasuk seorang wanita ditangguhkan berikutan mereka tidak memahami pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan jaminan berikutan ia melibatkan kesalahan keselamatan dan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Peguam Adam Haikal yang mewakili semua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan berikutan tiada risiko tertuduh melarikan diri.
“Mereka antaranya bekerja sebagai buruh, jurujual dan pembantu kedai runcit turut mempunyai tanggungan keluarga.
“Mohon budi bicara mahkamah membenarkan cadangan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh,” katanya.
Mohd. Sabri menolak permohonan itu dan menetapkan 9 September depan bagi sebutan semula kes. – UTUSAN










