PEKAN: Sebanyak lima kes keracunan makanan dilaporkan berlaku di Pahang sepanjang lapan bulan pertama tahun ini melibatkan daerah Kuantan, Temerloh, Rompin dan Bera.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, dua kes dikesan di Temerloh manakala masing-masing satu kes di Kuantan, Rompin dan Bera.
Selain itu katanya, sehingga Jun lalu, sebanyak 3,180 notis 32B dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1973 dengan nilai kompaun mencecah RM379,617.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 194 premis makanan diarah tutup dengan Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 44 premis. Kebanyakan kesalahan adalah melibatkan pengendali makanan yang tidak memakai apron, cincin, gelang, tidak memakai kasut dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) di Dataran Pekan Bandar Diraja, hari ini.
Razali mengingatkan peniaga makanan agar lebih serius menjaga kebersihan makanan dan persekitaran bagi mengelakkan kes keracunan berulang.
“Kesannya bukan sahaja kepada pelanggan yang boleh mengalami keracunan, tetapi juga kepada pengendali makanan sendiri kerana terpaksa menanggung kerugian apabila premis ditutup dan dikenakan kompaun,” katanya. – UTUSAN










