PETALING JAYA: Maybank Islamic Berhad telah menyalurkan lebih RM7 juta menerusi Dana Amal Ikhwan dalam tempoh sedekad, sekali gus menukar perbelanjaan harian pemegang kad kredit kepada impak sosial merangkumi kesihatan, pendidikan, bantuan bencana serta pembangunan komuniti di dalam dan luar negara.
Dana berkenaan diwujudkan melalui mekanisme sumbangan automatik antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus daripada perbelanjaan pengguna kad kredit terpilih, tanpa sebarang kos tambahan kepada pemegang kad.
Antara kad yang terlibat ialah Maybank Islamic Mastercard Business Card-i, Visa Corporate Card-i World Elite Mastercard Ikhwan, Ikhwan Mastercard Platinum Card-i dan Ikhwan Mastercard Gold Card-i.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah berkata, model tersebut mencerminkan prinsip kewangan Islam yang menekankan nilai etika serta impak sosial.
“Ia juga mencerminkan misi Humanising Financial Services kami, di mana kewangan melangkaui sekadar transaksi.
“Melalui Dana Amal Ikhwan Maybank Islamic, kami dapat menyalurkan perbelanjaan harian kepada inisiatif yang meningkatkan kehidupan, menyokong kumpulan rentan dan memperkukuh komuniti.
“Penyelesaian kewangan kami bukan sahaja direka untuk memenuhi keperluan pelanggan, tetapi juga untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat dan memberikan nilai bersama untuk semua,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang 10 tahun lalu, dana itu telah disalurkan kepada pelbagai inisiatif kemanusiaan dengan kerjasama beberapa organisasi termasuk MERCY Malaysia, Islamic Relief Malaysia, Islamic Aid Malaysia, Yayasan Pelajaran MARA, Yayasan Chow Kit dan Institut Jantung Negara.
Antara fokus bantuan termasuk rawatan perubatan, pendidikan, bekalan air bersih, latihan kemahiran serta bantuan kecemasan termasuk ketika pandemik Covid-19 dan banjir di beberapa negeri.
Selain itu, dana berkenaan turut menyokong program komuniti seperti Iftar Perdana, Qurban Perdana, inisiatif Adopt-a-Mosque serta sambutan Syawal yang memberi manfaat kepada masjid, institusi tahfiz dan golongan asnaf di seluruh negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dana itu membuktikan bagaimana sumbangan kolektif dapat memberikan impak mampan.
“Seiring dengan pertumbuhan perniagaan kami, kami kekal komited untuk memajukan kewangan Islam berasaskan nilai yang memberikan hasil bermakna kepada masyarakat.
“Ia sambil memperkasakan pelanggan untuk menjadi sebahagian daripada perubahan positif melalui perbelanjaan harian mereka,” katanya. – UTUSAN










