PETALING JAYA: Arahan Pas yang meminta penyokongnya mengundi calon UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) berisiko mengalih perhatian daripada objektif sebenar gabungan itu untuk meraih kemenangan.
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Na’im Brundage berkata, prinsip paling penting adalah semua parti perlu konsisten memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon PN, sama ada calon itu mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Secara peribadi, saya melihat polemik ini sebagai satu gangguan yang boleh mengalih perhatian daripada objektif sebenar PN ketika ini, iaitu memastikan kemenangan calon-calon PN.
“Bagaimanapun, saya tidak melihat perkara ini sebagai satu usaha untuk mensabotaj PN, memandangkan ia tidak memberi kesan langsung kepada mana-mana calon PN di kawasan yang ditandingi. Saya juga tidak melihat strategi Pas ini akan memberi kelebihan besar kepada Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas kenyataan Pas yang menyatakan tiada keperluan untuk parti itu mengadakan perbincangan dengan BN dan UMNO berhubung sokongan di kerusi yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor.
Mengulas kehadiran pemimpin Pas di lokasi kempen calon BN, Na’im berkata, ia mungkin sekadar satu isyarat politik terhadap jambatan hubungan yang cuba dibina antara kedua-dua parti tersebut.
“Sama ada hubungan itu benar-benar akan berjaya dibina atau hanya satu helah BN untuk cuba dilihat semakin menjauh daripada Pakatan Harapan (PH), masih belum jelas pada masa ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perseteruan politik antara BN dan PH di PRN Johor hanyalah satu drama politik yang terpaksa dimainkan oleh BN untuk mencipta persepsi kononnya mereka tidak bersama dengan PH.
“Sedangkan sudah jelas hubungan mereka sangat rapat di peringkat Persekutuan dan kepemimpinan tertinggi kedua-dua koalisi tersebut.
“Saya tidak percaya pengundi-pengundi di Johor akan tertipu dengan drama politik ini. Mereka sedar setiap undi untuk BN adalah satu undi kepada PH,” katanya.










