MUKADIMAH
Peningkatan kos sara hidup global menyaksikan harga hartanah semakin meningkat di seluruh negara termasuklah di Johor dan sekitar Kulai yang merupakan antara daerah di dalam kawasan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Bagaimanapun, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan program Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang mensasarkan sehingga 100,000 unit menjelang 2030.
Kepada Wartawan Utusan Malaysia, KHAIRUL MOHD ALI, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, DATUK MOHD. JAFNI MD. SHUKOR selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor menegaskan komited menjayakan inisiatif tersebut jika diberikan mandat semula.
UTUSAN MALAYSIA: Apakah perkara utama jika diberi mandat semula pengundi Bukit Permai?
MOHD. JAFNI: Perkara utama yang akan diberikan perhatian sudah tentu usaha untuk tangani kos sara hidup. Bagi mencapai perkara itu, ada tiga agenda yang mahu beri tumpuan iaitu melibatkan pembangunan infrastruktur, pemilikan rumah mampu milik dan pengukuhan ekonomi setempat.
Tiga perkara ini dipilih kerana ia merupakan isu yang dekat dengan rakyat. Keperluan semasa yang berkait dengan keselesaan hidup, peluang pekerjaan serta masa depan golongan muda dan keluarga.
Saya mahu memastikan kemudahan yang memberi manfaat kepada rakyat terus ditambah baik supaya kehidupan penduduk menjadi lebih selesa di seluruh Johor dan sudah tentu di Bukit Permai.
Apakah kaedah membantu meningkat ekonomi penduduk dan mengatasi kos sara hidup?
Ketika kerajaan negeri berusaha membawa masuk pelaburan berskala besar dalam negara untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dengan tawaran gaji premium, aspek pembangunan ekonomi setempat juga tidak boleh dipinggirkan.
Ini penting kerana ia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan ruang perniagaan kepada penduduk setempat bagi membolehkan pembangunan ekonomi berkembang secara sihat, sekaligus memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan rakyat selain membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan setempat.
DUN Bukit Permai terdiri komposisi pengundi bukan Melayu yang signifikan, bagaimana melihat kepentingan undi dalam kempen BN?
Bagi saya setiap undi mempunyai nilai yang sama. Tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain latar belakang. Mereka semua adalah rakyat Johor dan penduduk Bukit Permai yang mempunyai harapan sama iaitu melihat tempat ini maju dan membangun.
Sepanjang berkhidmat di sini, saya telah sertai program komuniti setempat dan melihat perpaduan dan keharmonian yang ada antara masyarakat berbilang kaum di sini. Saya turun ke kampung, taman perumahan, rumah ibadat, persatuan dan komuniti, semuanya saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Saya tidak membezakan kaum dan latarbelakang sebaliknya akan berjuang untuk hak semua individu dan menyatupadukan mereka untuk kemakmuran bersama.
Boleh berbahasa Mandarin, adalah itu merupakan satu kelebihan?
Ya mungkin ada sedikit kelebihan itu, tetapi saya tahu kepercayaan tidak dibina ketika musim pilihan raya semata-mata. la dibina melalui kehadiran yang konsisten. Kemampuan bertutur Mandarin meningkatkan lagi tahap komunikasi bersama mereka.
Selama ini saya sentiasa hadir dalam program masyarakat Cina, India dan pelbagai komuniti lain. Saya hadir mendengar masalah mereka, membantu sedaya mampu dan memastikan pintu pejabat saya sentiasa terbuka.
Saya tidak melihat mereka sebagai pengundi semata-mata, tetapi sebagai keluarga besar Bukit Permai yang sama-sama mahu melihat kawasan ini terus maju.
Pesanan kepada pengundi Bukit Permai.
Saya hadir menawarkan diri sebagai calon wakil rakyat bukan kerana mengejar jawatan, tetapi kerana mahu berkhidmat. Jika sepanjang saya diberi amanah masih ada kekurangan, saya mohon maaf. Jika ada kebaikan yang telah saya usahakan, semuanya adalah kerana sokongan dan doa rakyat.
Dengan penuh rendah hati, saya memohon kepercayaan dan sokongan seluruh warga Bukit Permai untuk terus bersama saya. Insya-Allah, amanah ini akan saya pikul dengan sebaik-baiknya. Saya akan terus turun padang, mendengar, bekerja dan berusaha sedaya upaya demi kesejahteraan seluruh rakyat Bukit Permai.-UTUSAN










