MELAKA: Lima kali rosak, lima kali baiki sendiri. Itu antara rintangan getir yang ditempuh empat pengusaha beca Melaka sepanjang mengharungi Kayuhan Beca Merdeka 2025 merentasi Semenanjung sejak 1 Julai lalu.
Pengerusi Persatuan Beca Persona Melaka, Rosli Mad Zin berkata, meskipun tayar pecah, brek rosak dan badan beca patah, mereka tetap tabah mengayuh sejauh lebih 2,100 kilometer (km) dalam tempoh 53 hari, demi menyemarakkan semangat kemerdekaan menjelang sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 hujung bulan ini.
“Kerosakan pertama berlaku di Port Dickson apabila tayar pecah dan tiada bengkel sanggup baiki beca, jadi kami buat sendiri. Di Kedah tayar rosak sekali lagi, di Kelantan pula brek bermasalah dan di Terengganu badan beca pula patah.
“Alat ganti kami bawa sendiri kerana kebanyakan bengkel tiada peralatan khusus untuk beca. Malah harga alat ganti di Kelantan dan Terengganu dua kali ganda lebih mahal berbanding Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rosli berkata, meskipun berdepan jalan sempit, laluan berbukit dan risiko lori di jalan raya, rakan-rakannya masih kekal cergas dan bersemangat untuk menamatkan kayuhan di Dataran Memorial Kemerdekaan, Banda Hilir pada 30 Ogos ini.
“Kami hanya berkayuh siang hari dan berhenti selewat-lewatnya 6.30 petang, penginapan sudah diatur termasuk inap desa, hotel bajet dan masjid.
“Sambutan masyarakat sangat membanggakan, terutama kanak-kanak sekolah yang teruja menerima Jalur Gemilang daripada kami. Di masjid pula, sambutannya hangat dan memberi kekuatan kepada kami,” katanya.
Kayuhan dua beca itu membawa tiga misi utama iaitu menyemarakkan patriotisme, menggerakkan Tabung Kebajikan Pengayuh Beca dan mempromosikan Melaka menerusi slogan ‘Mana Lagi… Melaka Ler!’.
Selain Rosli, turut menyertai misi tersebut, tiga lagi mengayuh secara bergilir ialah Muhammad Ramadan Rosli, 22; Mohd. Razalie Rafie, 54, dan Firdaus Jefri, 26.
Destinasi terakhir sebelum ke Melaka ialah Muar pada 28 dan 29 Ogos ini, di mana mereka akan bergabung dengan rakan Persatuan Beca dan Basikal Tua bagi mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai – UTUSAN







