Lelaki pukul anjing peliharaan didenda RM30,000

Lelaki pukul anjing peliharaan didenda RM30,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik anjing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini selepas mengaku bersalah memukul anjing peliharaannya dengan getah paip dan rotan, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Kiew Mun Kiat, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa dengan kejamnya telah memukul anjing jantan baka German Shepherd dengan menggunakan rotan kayu dan getah paip secara bertubi-tubi.

Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di Jalan Pandan Indah dekat sini di antara pukul 5.29 hingga 5.41 petang, 31 Julai.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Berdasarkan fakta kes, tindakan Mun Kiat yang bekerja sebagai penyelenggara penyaman udara itu memukul anjingnya telah dirakam penduduk sekitar rumahnya yang kemudiannya tular di beberapa rangkaian media sosial.

Bertindak atas maklumat dan aduan awam, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar  Selangor dan sepasukan pegawai serta anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di rumah OKS dan menemukan seekor anjing jantan German Shepherd bernama ‘Lucky’ dalam keadaan diikat, satu batang rotan dan satu unit paip getah di kawasan pekarangan rumah terbabit.

Hasil pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap anjing itu pada 1 Ogos lalu, mendapati terdapat luka pada bahagian hadapan kaki kiri dengan keguguran bulu setempat serta kemerahan pada kulit.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengutamakan kepentingan awam.

“Pihak pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira keseriusan kes berkaitan penganiayaan haiwan apabila dalam kes ini OKS memukul anjingnya bertubi-tubi dengan kesan kecederaan yang boleh mendatangkan trauma kepada haiwan tersebut.

“Pihak pendakwaan juga memohon supaya anjing itu dilucut hak kepada kerajaan untuk tujuan pengangkatan kepada orang awam yang layak dan berminat melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, Mun Kiat yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dikenakan hukuman yang ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga dan memukul anjing berkenaan kerana ingin mengajar haiwan itu.

“Saya mahu ajar dia sebab dia gigit tangan saya, mohon hukuman rendah ,” katanya.

Hakim Norshila Kamarudin selepas mengenakan hukuman denda tersebut turut memerintahkan agar OKS dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah turut melucut hak anjing berkenaan bagi tujuan pengangkatan (adoption) kepada orang awam yang berminat dan layak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN