Lelaki OKU bunuh, bakar empat sekeluarga kekal bela diri

Lelaki OKU bunuh, bakar empat sekeluarga kekal bela diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang diperintah membela diri atas tuduhan membunuh dan membakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada tahun 2017 untuk memfailkan rayuan di luar tempoh masa.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais turut menolak notis rayuan yang difailkan Kang Chang Heng, 46, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membela diri.

Turut bersidang dalam panel sama ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof.

Pada 2 September 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah yang lepaskan dan memerintahkan Chang Heng yang merupakan OKU pendengaran dan pertuturan daripada tuduhan bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada tahun 2017.

Lelaki itu juga diarahkan membela atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang merupakan cucu kepada pasangan yang maut dalam kes berkenaan.

Pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebas dan melepaskan Kang daripada semua tuduhan tanpa perlu membela diri daripada semua pertuduhan.

Pada prosiding hari ini, jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee turut hadir membantu mahkamah.

“Perintah agar perayu (Chang Heng) membela diri bukanlah satu keputusan (akhir) tetapi merupakan satu ketetapan (ruling). Perayu masih mempunyai hak untuk membela diri, dan sekiranya disabitkan (di akhir kes pembelaan), beliau masih mempunyai hak untuk membuat rayuan.

“Oleh itu, pada peringkat ini, kami mendapati bahawa rayuan ini tidak kompeten dan dengan itu, kami mengetepikan rayuan tersebut. Kes dihantar semula ke Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata Hakim Abu Bakar.

Memandangkan kes telah berlanjutan sejak 2017, panel terbabit turut menetapkan pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok.

Mengikut pertuduhan, Chang Heng dituduh membunuh Chia Tee Nang, 73, isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka Chia Yuan Bin, 3 dan Ryan Chia Zeng Xi, 9, di sebuah rumah di Tanjung Sepat, di Kuala Langat, Selangor antara jam 4 dan 5 pagi pada 13 Disember 2017.

Chang Heng turut dituduh menyebabkan kecederaan ke atas Andrew Chia Zeng Haol yang berusia 11 tahun, yang terselamat daripada kebakaran dicetuskan Kang pada masa dan tempat yang sama.

Pekerja kilang perabot itu ditahan pada 15 Disember 2017, dipercayai adalah teman lelaki kepada anak perempuan bongsu pasangan suami isteri yang terkorban, yang juga OKU pendengaran dan pertuturan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN