ALOR GAJAH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, P.P. Deva, 32, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki dalam bilik tidur sebuah rumah di Taman Melaka Perdana dalam daerah Alor Gajah antara pukul 3 hingga 4 petang pada 4 Julai 2025.
Tertuduh berdepan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak menggangu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Peguam Datuk P. Aravindhakshan merayu jaminan rendah dengan alasan keluarga anak guamnya tidak berkemampuan kerana tiada pendapatan tetap dan bergantung kepada upah setiap pekerjaan dilakukan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 8 September ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN










