HULU TERENGGANU: Rasa penat dan sakit badan hilang sekelip mata apabila pengunjung yang datang jauh akhirnya dapat melihat kawanan ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir sekali gus menepis kebimbangan bahawa spesies itu sudah pupus di situ.
Zaimah Abdul Latif, 54, dari Jempol, Negeri Sembilan berkata ,walaupun terpaksa menahan sakit kaki dan lutut ketika mendaki untuk sampai ke lokasi, namun segalanya berbaloi apabila dapat menyaksikan ikan kelah berenang bebas di hadapan mata.
Dia berharap khazanah berharga itu dipulihara daripada aktiviti tidak bertanggungjawab yang boleh mengancam habitatnya.
“Jagalah persekitaran ini biar kelah ini ada. Sakit kaki dan sakit lutut semua hilang bila sudah sampai ke sini,” ujarnya ketika ditemui di sini.
Rata-rata pengunjung yang hadir turut meluahkan rasa lega dan gembira apabila masih berpeluang melihat kelah berenang beramai-ramai.
Malah, ada yang mengakui berasa bimbang apabila membaca berita mengenai kehilangan kelah di Tasik Kenyir sebelum ini, namun kunjungan kali ini meyakinkan mereka bahawa spesies berkenaan masih wujud.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris tidak menolak misteri kehilangan kelah sebelum ini berpunca daripada cubaan menangkap spesies itu secara haram.
Penemuan pukat dengan saiz mata kira-kira empat inci tersangkut di laluan masuk lubuk asal serta kesan luka pada badan beberapa ekor ikan membuktikan aktiviti tidak bertanggungjawab itu berlaku.
“Kalau perkara ini tidak dibendung, kita bimbang populasi kelah akan terus merosot sedangkan kelah adalah ikon utama tarikan pelancongan Tasik Kenyir,” katanya.
Razali berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan turut membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu semalam berhubung pencerobohan dan kehilangan ikan kelah di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, Santuari Kelah pernah ditutup sementara pada 22 hingga 24 Ogos lalu namun kini ia kembali dibuka kepada pengunjung bermula 25 Ogos lepas. – UTUSAN










