GEORGE TOWN : Perkhidmatan bas ulang-alik percuma, Transit Kawasan Pusat (CAT) Hospital di sini mendapat sambutan yang luar biasa apabila merekodkan peningkatan jumlah penumpang sehingga dua kali ganda ketika ini berbanding semasa perkhidmatan itu mula diperkenalkan pada 1 Januari lalu.
Difahamkan, daripada sekitar 300 penumpang sehari pada peringkat awal operasi, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut kini mencecah 600 orang sehari dan kebanyakan mereka terdiri daripada kalangan pesakit, warga emas serta penjaga yang mendapatkan rawatan di hospital serta pusat kesihatan di sekitar bandar raya ini.
Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Cheah Chin Kooi berkata, peningkatan itu menunjukkan bahawa keperluan terhadap kemudahan pengangkutan awam yang lebih dekat dan mudah diakses oleh golongan yang memerlukan masih tinggi pada masa ini.
“Ramai pengguna memanfaatkan perkhidmatan ini kerana mereka tidak perlu berjalan jauh dari hentian bas untuk ke hospital, terutamanya warga emas, pesakit yang mengalami kecederaan serta mereka yang perlu menjalani rawatan susulan secara berkala,” katanya selepas meninjau perkhidmatan itu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Chin Kooi berkata, MBPP turut memperuntukkan sehingga RM900,000 setahun bagi memastikan perkhidmatan tersebut dapat diteruskan secara percuma sebagai alternatif kepada penggunaan kenderaan persendirian untuk ke hospital atau klinik di sekitar pusat bandar.
“Dalam hal ini, kami berharap agar lebih ramai orang akan menggunakan perkhidmatan CAT Hospital untuk memudahkan urusan mereka selain dapat mengelak daripada terperangkap dengan kesesakan lalu lintas serta tekanan terhadap kemudahan parkir yang terhad di HPP,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HPP, Dr. Goh Hin Kwang berkata, perkhidmatan berkenaan turut membantu usaha pihak hospital untuk menyediakan akses yang lebih mesra kepada semua pengguna termasuk warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Katanya, bagi menyokong usaha tersebut, kerja-kerja menaik taraf pintu masuk HPP di Jalan Utama kini sedang dilakukan dan satu laluan pejalan kaki juga akan dibina di situ membolehkan perkhidmatan CAT Hospital diakses dengan lebih mudah oleh orang ramai.
Untuk rekod, sebanyak tiga buah bas telah disediakan untuk perkhidmatan terbabit yang beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 8 malam dengan kekerapan setiap 20 minit membabitkan laluan sepanjang lapan kilometer (km) dari Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) menuju ke HPP.










