Ahmad Zahid puji pembelajaran TKBJ, berbeza dengan tabika Kemas yang lain - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid puji pembelajaran TKBJ, berbeza dengan tabika Kemas yang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memuji inisiatif kerajaan negeri menerusi Tabika Kemas Bangsa Johor (TKBJ) yang menitikberatkan pendidikan secara holistik sejak usia muda.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pendidikan awal di TKBJ bukan sahaja menekankan penguasaan bahasa Inggeris malah tidak ketinggalan soal pendidikan agama.

“Pengisian pembelajaran di TKBJ ini yang menggunakan teknologi canggih, perkara itu berbeza dengan tabika lain di seluruh negara. Bezanya di Johor, kita beri penekanan kepada penghafazan Al-Quran, pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.

“Malah, sesi pembelajaran anak kecil ini menggunakan kaedah teknologi baharu dan sistem komputer tidak lagi menggunakan papan putih,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa Tabika Kemas Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1 di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya memperuntukkan RM3.6 juta bagi melaksanakan inisiatif berkenaan termasuklah transformasi infrastruktur, latihan guru serta pemerkasaan silibus pembelajaran di lima premis membabitkan tujuh kelas TKBJ.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN