PORT DICKSON: Keputusan sama ada kawasan ternakan kupang dan kerang di perairan Pasir Panjang di sini ditutup berikutan fenomena ledakan alga hanya akan diputuskan pada lusa.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, keputusan mengenainya akan dibuat selepas keputusan prosedur persampelan kedua yang dilaksanakan hari ini diperoleh.
Katanya, tindakan itu adalah prosedur wajib sebelum sebarang penutupan dilaksanakan berikutan potensi ledakan alga di kawasan tersebut
“Mengikut prosedur, kami perlu melakukan pensampelan kedua. Hari ini pihak kami telah mengambil sampel kedua dan akan dihantar ke Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBKL).
“Keputusan sama ada perlu ditutup atau tidak akan diketahui pada Khamis bergantung kepada paras biotoksin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasir Panjang di sini.
Menurut Kasim, keputusan ujian makmal dari PBKL pada minggu lepas mendapati bacaan biotoksin melebihi 800 per bilion (pbb), menjadikan makanan laut itu tidak selamat untuk diambil kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Bagaimanapun, Kasim berkata makanan laut yang lain seperti ikan dan udang tidak terjejas dan selamat untuk dimakan.
“Bagi ikan dan udang, ia tidak bahaya walaupun alga sememangnya wujud dalam makanan laut namun pada kuantiti yang sangat sedikit. Namun, kupang dan kerang berisiko tinggi kerana ia tergolong dalam spesies filter feeder (penapis makanan).
“Apabila berlaku ledakan alga, ia akan menghasilkan toksin yang boleh mengundang masalah kesihatan seperti Paralytic Shellfish Poisoning (keracunan kerang lumpuh) iaitu sejenis penyakit bawaan makanan yang berpunca daripada makanan laut yang terdedah dengan biotoksin marin,” katanya.
Kasim berkata, faktor cuaca panas serta kandungan nutrien yang tinggi dalam air menjadi faktor utama yang boleh mencetuskan ledakan alga berbahaya di perairan daerah ini.
“Bila berlaku perubahan cuaca dan nutrien berada pada tahap sesuai, ia akan menyebabkan alga membiak secara mendadak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengutip, mengambil atau menjual kupang dan kerang-kerangan di kawasan terbabit sehingga keputusan ujian mengesahkan ia selamat.
Tambahnya, dianggarkan seramai 89 penternak kupang berdaftar di kawasan Telok Kemang bakal terkesan sekiranya larangan berterusan dikuatkuasakan.
Sebelum ini media melaporkan, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson.
PNK Telok Kemang memaklumkan, ia berikutan pihaknya mengesan fenomena yang dipercayai ledakan alga di perairan Pasir Panjang pada 5 Ogos lalu. – UTUSAN










