JOHOR BAHRU: Sarjan Mejar Charudin Md. Sari antara anggota polis terawal tiba di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di sini walaupun terpaksa berjalan menggunakan tongkat disebabkan slip disc.
Charudin, 52, yang berkhidmat di Bahagian Kejuruteraan Mekanikal 1 di PPM Wilayah Dua berkata pihaknya tidak pernah culas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ketika bertugas.
“Saya rasa lega apabila proses undi awal berjalan lancar, mudah untuk saya mengundi di bilik khas tingkat bawah disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jadi saya tidak perlu menaiki tangga seperti pengundi yang lain.
“Sebagai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), menjadi kewajipan buat diri saya untuk keluar mengundi dan saya tak pernah jadikan masalah kesihatan sebagai alasan tidak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Charudin berkata, dia mengalami kecederaan ‘slip disc’ ketika bertugas pada 2014 setelah terjatuh terlentang di bilik enjin bot peronda.
“Sejak kemalangan itu, saya telah menjalani tiga pembedahan bagi membolehkan terus berkhidmat dalam pasukan. Tetapi sejak akhir ini, saya turut mengalami simptom parkinson apabila tangan kanan kerap terketar-ketar.
“Walaupun kesihatan tidak mengizinkan, tetapi saya tak pernah ‘miss’ keluar mengundi baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 2014. Insya-Allah, PRU-16 pun saya akan keluar mengundi walaupun terpaksa jalan bertongkat,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Hoo Chuan Huat hadir ke Markas PPM Wilayah Dua bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Sementara itu, dua calon bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling iaitu Pannir Selvam dari Barisan Nasional (BN) dan Alan Tee dari Pakatan Harapan (PH) turut datang secara berasingan bagi melihat kelancaran proses pengundian awal.-UTUSAN










