KUALA LUMPUR: Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung menerima kadar elektrik baharu menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan oleh kerajaan.
Penetapan tarif baharu itu berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan peruntukan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bagi tempoh 2018 hingga 2023, Tenaga nasional Berhad (TNB) telah membayar dividen berjumlah RM15.75 bilion kepada pemegang saham utamanya.
Pemegang saham utama TNB terdiri daripada syarikat-syarikat pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, kadar keuntungan TNB yang dikawal selia oleh kerajaan bagi tempoh tiga tahun untuk Regulatory Period 4 (RP4) kekal pada 7.3 peratus, sama seperti sejak 2018 (RP2).
Katanya, jika keuntungan melebihi kadar itu, lebihan akan dipulangkan kepada pengguna melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWI).
Jelasnya, jumlah keuntungan yang ditetapkan mengambil kira jumlah pelaburan TNB dalam menaik taraf grid nasional untuk menyokong aspirasi ASEAN Power Grid (APG), pembinaan dan penyelenggaraan loji janakuasa, pemasangan meter pintar, digitalisasi sistem tenaga serta meningkatkan kemasukan sumber tenaga boleh baharu.
“Langkah ini bertujuan mengekalkan kestabilan TNB sebagai syarikat utiliti tenaga utama negara, sambil memberi pulangan munasabah kepada pemegang saham utama terdiri daripada syarikat-syarikat pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah keuntungan tahunan dan tambahan keuntungan yang boleh diperoleh TNB selepas kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.2 peratus ke atas sektor komersial, 1 Julai lalu.
Akmal Nasrullah berkata, pulangan keuntungan lebihan TNB kepada pengguna telah mula dilaksanakan melalui insentif cekap tenaga, khususnya bagi pengguna elektrik di bawah 600 kWh sebulan, serta pengecualian bayaran kos peruncitan bagi kumpulan tertentu.
“Perubahan struktur kos ini mengimbangi semula perbelanjaan pengguna, dengan hanya sekitar sembilan peratus kini mencerminkan kos infrastruktur, manakala hampir 90 peratus kos terdahulu adalah kos tenaga.
“Dengan perancangan baharu, penekanan lebih diberikan kepada pembangunan infrastruktur tenaga dan perlindungan pengguna. Mekanisme pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) diperkenalkan setiap bulan untuk menggantikan Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT), tetapi tidak melibatkan pengguna domestik.
“Hasilnya, 85 peratus pengguna domestik TNB menikmati penurunan bayaran elektrik pada kadar penggunaan sama,” katanya menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai pulangan keuntungan kepada pengguna. – UTUSAN










