KUALA LUMPUR: Lebih 11,400 usahawan komuniti India menikmati manfaat daripada pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, dengan sokongan agensi seperti Bank Rakyat, ramai usahawan komuniti India dapat tampil ke hadapan sebagai pemacu ekonomi.
“Manfaat ini memberi peluang lebih luas kepada usahawan untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka,” katanya pada Majlis Taklimat Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.
Sebelum ini, Bank Rakyat mengumumkan penambahan peruntukan dana BRIEF-i sebanyak RM100 juta bagi menyokong dan memperkasa peniaga tempatan terutama komuniti perniagaan India.
Ramanan berkata, kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif dan peruntukan di bawah kementerian lain bagi memperkasakan masyarakat India.
“Pada 19 Ogos 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyalurkan peruntukan penyelenggaraan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM5.4 juta manakala sumbangan bantuan penyelenggaraan bagi SJKT pula sebanyak RM19.11 juta,” katanya
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohamad Irwan Mohd. Mubarak berkata, BRIEF-i memberi manfaat kepada usahawan komuniti India dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan, perkhidmatan, peruncitan serta makanan dan minuman.
“Kami di Bank Rakyat berbangga dapat memberi sokongan kepada usahawan untuk memperkembangkan perniagaan, sekali gus kekal berdaya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.-UTUSAN










