SEREMBAN: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan masih menguatkuasakan larangan pengeluaran dan pengambilan hasil kupang dan kerang-kerangan di Port Dickson susulan masih dicemari biotoksin berbahaya serta tidak selamat dimakan.
Pengarahnya, Kasim Tawe berkata, ia berikutan analisis makmal terhadap sampel kedua kupang dan kerang-kerangan yang diambil 12 Ogos lalu melebihi paras selamat.
Menurutnya, berikutan itu makanan laut berkenaan berbahaya untuk dimakan dan boleh menyebabkan masalah kesihatan.
“Kandungan biotoksin masih tinggi dan sampel ketiga kami akan ambil pada minggu hadapan. Buat masa ini, larangan kekal untuk tidak mengambil, mengutip dan menuai kupang atau kerang-kerangan di perairan Port Dickson,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson.
Larangan itu berikutan pengesanan fenomena yang dipercayai merupakan ledakan alga di perairan Pasir Panjang, Port Dickson 5 Ogos lalu.










