Lantik Malaysia pendamai tetap ASEAN

Lantik Malaysia pendamai tetap ASEAN

SYED HAMID ALBAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menjadi perantara ASEAN secara kekal ekoran kejayaan sebagai pendamai diantara konflik Kemboja dan Thailand. 

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, malah Malaysia membuktikan peranannya sejak dahulu lagi ketika tahun 2005 dengan menjadi perantara ketika konflik Jepun dan China. 

Selain itu katanya, rekod diplomasi yang baik serta pengalaman menjadi tuan rumah beberapa rundingan penting ASEAN sebelum ini menjadikan Malaysia memiliki asas kukuh bertindak sebagai pendamai di rantau ini.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang bercirikan kuasa pertengahan di rantau Asia Tenggara.

“Paling penting kita tidak dilihat sebagai ancaman kepada negara lain tetapi cukup berpengaruh untuk mempengaruhi keputusan dan menggerakkan inisiatif damai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam. 

Kelmarin, Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand dan Kemboja berjaya mencapai kata sepakat dalam lima perkara termasuk bersetuju memantau proses gencatan senjata yang ketat, membabitkan semua jenis serangan dan senjata.

Selain itu, sebuah pasukan pemerhati sementara akan diwujudkan bagi memantau kawasan terbabit secara berkala tanpa melintasi sempadan dan akan berkoordinasi rapat dengan Jawatankuasa Sempadan Bersenjata (ABC) dan GBC setiap negara.

Penubuhan pasukan pemerhati ini membabitkan atase tentera ASEAN yang berpangkalan di Thailand dan Kemboja, dan akan diketuai oleh penolong atase tentera Malaysia.

Selain itu, kedua-dua negara bersetuju mengelakkan sebarang tindakan provokatif, sama ada tindakan ketenteraan atau penyebaran maklumat palsu demi mewujudkan suasana kondusif bagi penyelesaian secara aman. 

Dalam pada itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, Malaysia telah membuktikan bertanggungjawab dan memainkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN. 

“Iktibar paling penting ialah malaysia mengambil sikap ambil tahu walaupun Thailand pada awal mengatakan ia isu bilateral. Malah Pengerusi ASEAN sebelum ini mengambil sikap tidak ambil tahu disebabkan alasan berkenaan. 

“Justeru pada masa akan datang ia menjadi satu tanda aras kepada Pengerusi lain untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN