Lamborghini, Nissan Fairlady antara kenderaan mewah tiada cukai jalan

Lamborghini, Nissan Fairlady antara kenderaan mewah tiada cukai jalan

PEGAWAI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan mewah yang disita dalam Op Luxury di Depoh Sita JPJ Negeri Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lamborghini dan Nissan Fairlady antara lapan kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu kerana melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Kenderaan Luxury (Op Luxury) dari 1 hingga 19 Ogos lalu.

Pengarahnya, Zamri Samion berkata, semua sitaan dibuat selepas pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tidak memiliki cukai jalan dan perlindungan insurans sah.

Kata beliau, Op Luxury adalah kesinambungan operasi berfokus yang dilaksanakan di seluruh negara sejak Julai lalu bagi memastikan kenderaan mewah di jalan raya mematuhi undang-undang.

“Sepanjang Julai tiada sebarang sitaan dilakukan di Terengganu namun bermula 1 Ogos hingga 19 Ogos, kita menahan serta menyita lapan kenderaan mewah pelbagai jenama. Antara kenderaan lain yang disita ialah dua Toyota Vellfire, BMW 523i, Land Cruiser Prado, Lexus NX300 dan Mercedes Benz,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sepanjang operasi itu, sebanyak 90 kenderaan mewah diperiksa dengan pelbagai kesalahan direkodkan.

Menurut Zamri, antara kesalahan utama adalah cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans masing-masing 13 kes, selain dua kes tiada lesen memandu kompeten (CDL), CDL tamat tempoh (dua kes) serta tiga kes nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.

Katanya, JPJ turut mengeluarkan 33 Notis P22 iaitu larangan penggunaan kenderaan di jalan raya, satu Notis Arah Periksa serta lapan Notis Sita. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN