MELAKA: Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 51 pertuduhan melakukan sumbang mahram dan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya berusia 18 tahun, sejak Mei lalu.
Tertuduh yang berusia 41 tahun membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan 17 kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak kandung sendiri yang berusia 18 tahun di sebuah rumah bernombor di Taman Tambak Paya Harmoni dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 6.50 pagi dan pukul 7.15 pagi pada 12 Mei hingga 2 Ogos 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan tidak lebih tiga puluh tahun dan hendaklah juga disebat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK).
Tertuduh turut didakwa atas 17 pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat jika sabit kesalahan.
Sementara itu, tertuduh berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 7 AKSTK 2017 kerana membuat bahan pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar mangsa sama dalam keadaan tidak berpakaian dalam bilik air di lokasi sama kira-kira pukul 7 pagi pada 9 Julai 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis dua minggu sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan hanya mempunyai wang sebanyak RM8,000 kerana wang simpanannya telah diambil oleh isteri sebelum membawa anak-anak keluar meninggalkan rumah.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM90,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam. – UTUSAN










