Kubur Allahyarham Syamsul Haris diperintah digali semula

Kubur Allahyarham Syamsul Haris diperintah digali semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan seorang ibu menggali semula kubur anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Rinching Ulu, Hulu Langat bagi membolehkan bedah siasat dilakukan semula.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan terhadap kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.

Mahkamah juga memerintahkan proses bedah siasat itu dilakukan oleh Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hakim Bhupindar dalam penghakimannya turut memerintahkan proses bedah siasat dihadiri pakar forensik bagi pihak pemohon, Datuk Seri Dr. Govinder Singh serta peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau mana-mana wakil dari Tetuan Naran Singh & Co.

“Selain itu suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat tersebut untuk mengeluarkan laporan bedah siasat dalam tempoh yang munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan dan satu salinan laporan tersebut hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon,” katanya semalam.

Sebelum ini, berdasarkan notis usul difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, ibu pelajar tersebut, Ummu Haiman Bee Daulatgun menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau mahu siasat terhadap kematian mangsa yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, pada 28 Julai lalu.

Ummu Haiman Bee mahu punca kematian anaknya itu dikenal pasti dan mengharapkan laporan keputusan bedah siasat yang telus dan satu siasatan dilakukan tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Buat masa sekarang kita jalankan bedah siasat dan tengok keputusan dahulu, itu langkah pertama. Sekurang-kurangnya kita hendak tahu punca kematian sebenar, itu kena tahu dahulu. Kemudian baru kita fikir langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada sebarang unsur penderaan dikesan dalam kematian Syamsul Haris, 22, menerusi Jawatankuasa siasatan berhubung kes berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN