PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menerima empat tuntutan khusus berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menerusi memorandum yang diserahkan pada himpunan aman #KeadilanUntukZara di Taman Tugu dan Pintu Utama Parlimen, hari ini.
Memorandum itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Ts. Aminuddin Hassim sebelum Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di Parlimen bagi membincangkan isu tersebut secara lanjut.
Fadhlina berkata, empat tuntutan itu menyentuh aspek reformasi pendidikan, prosedur operasi standard (SOP) kes buli, latihan kepada warga sekolah dan penjelasan terbuka kepada masyarakat.
“Kes ini menjadi perhatian utama Kementerian. Saya meletakkan harapan penuh agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tuntutan pertama ialah melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional khususnya isu buli.
Maklum balas diberikan KPM ialah mereka telah mengambil langkah meningkatkan keselamatan di sekolah termasuk audit keselamatan, penambahbaikan sistem aduan, penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan, tindakan tegas terhadap pelaku buli dan memperkukuh sokongan psikososial.
Tuntutan kedua pula ialah mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk SOP jelas dan tegas terhadap kes buli.
Maklum balas diberikan ialah KPM bersetuju dan akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh serta menerima cadangan penambahbaikan garis panduan sedia ada.
Selain itu, tuntutan ketiga adalah mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada guru, pentadbir serta warden berhubung intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar dan tatacara pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa.
Oleh itu, KPM akan memperkasakan latihan supaya pentadbir sekolah, guru dan warden sentiasa bersedia menangani kes buli.
Terakhir, KPM perlu memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai isu itu dan tindakan pihak sekolah.
KPM menyambut baik pasukan petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyiasat kes Zara Qairina dan memberi kerjasama penuh serta perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak polis.
Fadhlina berkata, seluruh warga KPM berdukacita atas pemergian Zara Qairina dan komited memastikan kes tersebut disiasat hingga ke akar umbi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tuntutan beberapa NGO agar Suruhanjaya siasatan bebas nasional ditubuhkan segera berhubung kematian Zara Qairina serta kes-kes buli melibatkan pelajar yang berlaku dalam tempoh 10 tahun kebelakangan.
Itu antara 11 tuntutan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui Sekretariat Solidariti Zara Qairina yang ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu. – UTUSAN










