KPM sasar tambah 250 kelas prasekolah bagi 2026

KPM sasar tambah 250 kelas prasekolah bagi 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan penambahan 250 kelas prasekolah baharu pada tahun 2026 sebagai sebahagian usaha memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peluasan itu akan dilaksanakan di sekolah serta institusi KPM yang mempunyai infrastruktur sesuai, sekali gus memberi peluang lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan awal secara percuma.

Katanya, dalam usaha memperluas akses prasekolah, KPM menambah 134 kelas pada 2024 menjadikan jumlah keseluruhan 10,043 kelas, sebelum ditambah lagi 150 kelas pada 2025 yang menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 10,175 kelas.

“Bagi 2026, KPM menyasarkan tambahan 250 kelas lagi. Usaha peluasan ini dilaksanakan di sekolah dan institusi KPM yang mempunyai infrastruktur sesuai, sekali gus memberi lebih ramai kanak-kanak peluang mendapat pendidikan awal secara percuma

“Sehingga Jun lalu, sebanyak 129 kelas prasekolah baharu dibuka di pelbagai institusi termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan, KPM sedang menggubal akta khusus berkaitan pendidikan awal kanak-kanak bagi memastikan kawal selia aspek itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Katanya, KPM juga akan memperkenalkan Kurikulum Prasekolah baharu yang berpaksikan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 dan dijadikan mandatori kepada semua institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Kata Fadhlina, ia selari dengan langkah kerajaan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada pembentangan RMK13 akhir bulan lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN