Kota Buku lancar projek dua juta buku tulis kitar semula

Kota Buku lancar projek dua juta buku tulis kitar semula

kota buku
Wong Kah Woh, Mohd. Khir Ngadiron, Dr. Nik Norzrul Thani bin N. Hassan Thani dan Adibah Omar, pada pelancaran projek "Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari di Kuala Lumpur pada 26 Ogos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan fasa pertama Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berteraskan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Perbadanan Kota Buku (PKB) yang menyasarkan satu juta buku tulis menggunakan bahan kitar semula, fasa kedua projek ini kini dilancarkan dengan sasaran mengedarkan dua juta buku tulis kitar semula menjelang musim persekolahan Januari 2026.

Bertempat di The Canopy, The Majestic Hotel Kuala Lumpur, projek “Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari” ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Wong Kah Woh yang menekankan peranan penting ESG dalam industri buku.

Menurut beliau, sasaran Perbadanan Kota Buku dan rakan sinergi nampak lebih berani; dua juta buku tulis kitar semula menjelang Januari 2026.

“Sasaran ini bermaksud lebih banyak murid yang akan mendapat bantuan, lebih banyak keluarga akan diringankan beban mereka, dan lebih banyak pokok serta sumber alam sekitar akan diselamatkan,” katanya.

Kementerian Pendidikan katanya, sentiasa komited menyokong inisiatif ini. Malah, program ini seiring dengan usaha kementerian mengarusperdanakan ESG dalam ekosistem pendidikan, selaras dengan dasar nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Untuk mencapai matlamat ini, PKB telah menjalinkan kerjasama erat dengan CP Integrated Sdn. Bhd. yang turut mempunyai objektif sama dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula dan kelestarian alam dalam kalangan murid-murid dan warga sekolah.

Sinergi kerjasama antara PKB dan CP Integrated Sdn. Bhd. ini turut mendapat sokongan penuh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang menegaskan projek “Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari” ini adalah manifestasi komitmen untuk menggabungkan kelestarian alam sekitar dengan masa hadapan pendidikan anak-anak bangsa Malaysia.

“MBKM menyasarkan menjelang 2030 sekurang-kurangnya 50% buku teks dan buku tulis di Malaysia akan dihasilkan daripada kertas kitar semula. Sasaran ini realistik, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG-12, iaitu Pengeluaran dan Penggunaan Bertanggungjawab,” ujar Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Ngadiron.

Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Kota Buku, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani menyeru semua pihak terutamanya syarikat korporat, GLC, dan GLIC di luar sana untuk bersama-sama mendukung program ini.

“Program di bawah inisiatif Kota Budi ini bukan sekadar helaian kertas bercetak. Ia adalah simbol peluang, harapan, dan masa hadapan. Ia adalah bukti bahawa Perbadanan Kota Buku serius bukan sahaja dalam menguruskan projek dengan baik, tetapi juga dalam mengangkat misi yang lebih besar, iaitu memberikan kembali kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan kepada bumi.”

Dalam majlis ini, turut diperkenalkan penaja-penaja yang akan bersama menjayakan inisiatif “Dua Juta Buku Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari” yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang komited bagi memastikan projek ini mencapai matlamatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN