Konsisten ulang kaji pelajaran bantu raih keputusan cemerlang - Utusan Malaysia

Konsisten ulang kaji pelajaran bantu raih keputusan cemerlang

NUR Izzah Khalida Khairudin bersama ibu bapa pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) Ke-53 di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Konsisten mengulang kaji pelajaran dua jam setiap hari merupakan rahsia kejayaan penerima Anugerah Ungku Omar, Nur Izzah Khalida Khairudin, 21, sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) Ke-53 di sini hari ini.

Pemegang Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) itu berkata, peruntukan dua jam masa yang berkualiti itu membantunya memperoleh keputusan cemerlang.

“Setiap orang ada caranya tersendiri, namun saya turut terlibat aktif dalam bidang kurikulum dan kokurikulum yang memerlukan pengaturan masa secara efisien.

“Saya pernah menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar PUO dan Pengerusi Sekretariat Rukun Negara 2024 selain menjadi aktivis alam sekitar dan masyarakat yang aktif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.

Anugerah Ungku Omar merupakan paling berprestij yang diberikan kepada hanya seorang graduan cemerlang dan seimbang dalam setiap aspek.

Beliau merupakan antara 1,820 orang graduan PUO yang menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing pada Istiadat Konvokesyen PUO ke-53 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh.

Nur Izzah kini dalam proses menunggu panggilan daripada universiti tempatan untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pengatur cara komputer dengan mencipta perisian yang membolehkan kehidupan seseorang menjadi mudah dan tersusun.

“Hasrat tertinggi ialah mempunyai syarikat sendiri yang dapat memperkembangkan lagi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada rakyat tempatan,” katanya.

Sehingga Ogos 2025, PUO ­telah melahirkan 90,387 gra­duan TVET merangkumi pelbagai bidang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN