KUALA LUMPUR: Hasrat peminat untuk menyaksikan kemunculan penyanyi popular, Mawi dalam konsert berskala besar di ibu negara tidak kesampaian apabila penganjur, Showtag Asia, mengumumkan pembatalan acara tersebut semalam.
Konsert Tsumawi 20th Mawi World Live in KL yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari lalu yang kemudiannya ditunda ke bulan Julai, terpaksa dibatalkan sepenuhnya atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Keputusan ini bukanlah mudah. Kami telah berusaha sedaya upaya, namun ada hal-hal di luar kawalan yang memaksa kami akur dengan takdir ini,” kata pihak Showtag Asia dalam kenyataan rasmi.
Pihak penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada semua peminat yang sabar menanti, menyokong serta menunjukkan semangat mereka sejak pengumuman konsert berkenaan dibuat.
“Dengan berat hati, kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan amat menghargai sokongan anda semua selama ini.
“Kepada semua yang telah menanti dan menyokong, kami ucapkan jutaan terima kasih. Ini bukan titik noktah, tetapi noktah koma dalam perjalanan kami,” tambah kenyataan itu.
Bagi urusan pemulangan tiket, Showtag Asia memaklumkan bahawa semua bayaran balik akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan mereka.
Manakala, Santai.La tidak lagi terlibat dalam proses tersebut.
Sementara itu, pembeli tiket boleh menghubungi talian WhatsApp 012-949 4284 untuk maklumat lanjut.
Pihak penganjur dalam masa sama berharap agar peminat terus memberikan sokongan kepada projek dan acara mereka pada masa akan datang.
September tahun lalu, penyanyi Mawi atau Asmawi Ani, 44, memaklumkan bakal menganjurkan Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur di Megastar Arena, Kuala Lumpur sempena dua dekad pembabitannya dalam bidang seni.
Konsert tersebut pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 25 Januari.
Mawi dijangka menyampaikan lebih 20 buah lagu termasuk yang pernah dinyanyikannya ketika menyertai program realiti hiburan
Akademi Fantasia 3.
Pun begitu, pada Disember tahun lalu, pihak penganjur memaklumkan konsert tersebut ditunda pada Julai 2025 sebagai menghormati mangsa banjir yang terjejas di beberapa buah negeri.