Komposer muda jadikan Kurik Kundi sebagai inspirasi cipta lagu hari kebangsaan

Komposer muda jadikan Kurik Kundi sebagai inspirasi cipta lagu hari kebangsaan

AFFAN Mazlan ketika ditemui di Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pensyarah muda Universiti Multimedia (MMU) dan komposer lagu, Affan Mazlan, 25, mengangkat lagu rakyat popular Kurik Kundi sebagai inspirasi untuknya menghasilkan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 berjudul Malaysia Madani Rakyat Disantuni.

Menurut Affan yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, elemen perpaduan dan kepelbagaian budaya yang terserlah menerusi Kurik Kundi nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu telah dijadikan rujukan untuk menghasilkan lagu tema tersebut.

“Saya mahu membawa semula roh lagu rakyat yang benar-benar dekat di hati rakyat Malaysia seperti Kurik Kundi yang telah menjadi lagu ikonik generasi sebelum ini.

“Lagu ini saya jadikan rujukan supaya mesej perpaduan dapat disampaikan dengan lebih berkesan melalui gabungan muzik tradisional dan elemen moden.

“Saya mahu lagu ini bukan sekadar menjadi lagu tema, tetapi benar-benar dirasai oleh semua golongan rakyat sebagai lagu yang menyatukan kita semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Lagu tema HKHM 2025 itu diperkenalkan secara rasmi buat kali pertama pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai lalu.

Affan berkata, lagu tema yang turut dinyanyikan oleh Biduanita Negara itu mengambil masa di antara satu hingga dua bulan untuk disiapkan dengan cabaran untuk menyeimbangkan antara gaya formal dan santai agar mesejnya benar-benar sampai, selain mudah untuk dinyanyikan oleh semua golongan umur.

Katanya, dia berpeluang untuk menghasilkan lagu kebangsaan sejak tahun 2023, namun memilih untuk mengetengahkan kelainan pada tahun ini dengan memilih lagu yang lebih catchy di telinga para pendengar.

“Dua tahun lepas saya hasilkan lagu yang lebih bersifat korporat dan semangat patriotik yang kuat. Tahun ini saya cuba pendekatan lagu rakyat yang lebih berunsurkan tradisional, mudah dinyanyikan dan lebih dekat di hati masyarakat.

“Saya juga tidak mahu dikenali dengan satu gaya sahaja. Lagu tahun ini memberi peluang untuk saya tonjolkan versatiliti dalam penghasilan muzik dan memperkenalkan bunyi-bunyi baharu dalam lagu patriotik,” ujarnya.

Kongsinya lagi, pengalaman bekerja dengan penyanyi nombor satu negara itu juga amat mudah dan menyenangkan, selain mengambil masa yang sangat singkat.

“Bekerja dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza memang sangat mudah dan menyenangkan. Beliau datang dengan persiapan, beri idea sendiri dan sentiasa terbuka dengan cadangan saya. Proses rakaman pun hanya ambil sekitar sejam lebih sahaja.

“Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan beliau, jadi komunikasi kami memang sangat lancar. Saya rasa suaranya benar-benar melengkapkan lagu ini dan menjadikan keseluruhan karya lebih bermakna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN