PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mahu setiap fasiliti kesihatan awam mematuhi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membenarkan petugas kesihatan hamil pulang lebih awal apabila kandungan mencecah 22 minggu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketua jabatan dan penyelia kesihatan tidak boleh mengambil tindakan bercanggah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan biarpun menghadapi kekangan.
Beliau berkata, biarpun berdepan sebarang kekangan namun, arahan itu perlu dipatuhi.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua fasiliti-fasiliti kesihatan aqam supaya mematuhi pekeliling itu,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KKM dan Roche (Malaysia) Sdn Bhd, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan oleh beberapa petugas kesihatan di sebuah fasiliti kesihatan awam di Selangor yang mendakwa tidak mendapat kemudahan pulang awal itu.
Katanya, beliau menasihatkan mana-mana petugas kesihatan yang terkesan dengan pengabaian itu boleh membuat aduan menerusi sistem pengurusan buli (MyHELP).
Sebuah portal kesihatan mendedahkan, beberapa petugas kesihatan wanita hamil di Selangor mendakwa hak mereka untuk mendapat kemudahan itu.
Mereka mendakwa kebajikan mereka terabai dan hanya dibenarkan pulang awal pada usia kandungan 36 minggu, sedangkan pekeliling menetapkan kemudahan itu bermula pada usia kandungan berusia 22 minggu.
Selain itu, mereka juga mendakwa ada beberapa pegawai perubatan wanita hamil mengalami tekanan darah tinggi akibat terpaksa bekerja lebih masa dengan bebanan tugas tambahan.
Menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017 itu, penjawat awal yang usia kehamilannya mencapai 22 minggu dibenarkan untuk pulang sejam lebih awal.
Kemudahan itu diberikan bagi membolehkan penjawat awam hamil mendapat rehat tambahan, mengurangkan risiko kesihatan dan memberi kesejahteraan kepada kandungan. – UTUSAN