Kilang punca habuk hitam cemari kawasan perumahan - Utusan Malaysia

Kilang punca habuk hitam cemari kawasan perumahan

DR. MOHAMMAD Ezanni Mat Salleh (kanan) menunjukkan peralatan yang digunakan oleh JAS bagi mengesan pencemaran habuk hitam di Taman Tekkah Jaya di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Sebuah premis industri di sini dikenal pasti sebagai punca habuk hitam yang mencemari kawasan sekitar Taman Tekkah Jaya.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, pihaknya menerima lima aduan penduduk pada 4 hingga 11 Ogos lalu melibatkan gangguan habuk hitam yang menjejaskan lebih 100 rumah dengan anggaran 500 orang penduduk terlibat.

Menurutnya, pemeriksaan awal pada 5 Ogos lalu mengesahkan aduan tersebut berasas sebelum JAS mengaktifkan pemantauan udara 24 jam sehari menggunakan peralatan khas bermula 6 Ogos di Surau Nurul Iman, Kampung Tekah dan seterusnya di kawasan pasar raya TF Value Mart pada 8 Ogos.

“Hasil analisis dari 6 hingga 11 Ogos mendapati dua gas dominan iaitu asetilin dan hidrogen sianida dikesan melebihi had piawaian yang ditetapkan iaitu hampir 200 peratus lebih tinggi daripada nilai standard.

“Habuk halus tersebut tidak kelihatan dengan mata kasar dan berbahaya kepada kesihatan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila tiupan angin membawa habuk ke kawasan penempatan, menyebabkan lantai rumah, peralatan memasak, malah bulu haiwan peliharaan turut dipenuhi lapisan habuk hitam.

“Siasatan turut menggunakan dron dalam radius lima kilometer dan memeriksa lebih 20 hingga 30 premis, namun hanya satu premis disyaki menjadi punca pencemaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, premis tersebut yang dipercayai dikaitkan dengan proses berkaitan tayar dikesan gagal menyelenggara alat kawalan pencemaran udara dan tidak menghantar laporan pemantauan seperti diwajibkan selain peralatan kawalan pencemaran yang ada didapati tidak berfungsi dengan baik.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu laporan kimia yang dijangka diperoleh dalam satu atau dua hari ini.

“Sekiranya padanan habuk hitam di rumah penduduk dan di premis terbabit disahkan sepadan, kita akan menutup operasi kilang tersebut serta mengambil tindakan tegas di bawah akta yang diperuntukkan. Kita tidak akan berkompromi sama ada syarikat bertaraf antarabangsa atau tempatan,” katanya.

Menurutnya, kes pencemaran habuk hitam yang dilaporkan itu adalah yang pertama berlaku di Perak pada tahun ini, berbeza daripada kes sebelum ini yang kebanyakannya berpunca daripada aktiviti kuari.

“JAS turut memberi peringatan kepada penduduk supaya memastikan peralatan memasak dibersihkan sebelum digunakan bagi mengelakkan risiko kesihatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN