JERANTUT: Pelantikan Ketua Wanita UMNO Jerantut, Norsarfinaz Mohd. Azman sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar berkuat kuasa 1 September ini merupakan pengiktirafan terhadap wanita.
Pelantikan tersebut juga membuktikan kepimpinan wanita yang berwibawa, berpengalaman dan komited dalam memperjuangkan agenda parti berkenaan serta kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, pelantikan itu turut mencerminkan keyakinan kepimpinan negeri terhadap peranan wanita dalam memperkukuh gerak kerja politik dan pembangunan masyarakat setempat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas kepercayaan yang diberikan kepada Norsarfinaz. Ini membuktikan bahawa wanita memainkan peranan penting dalam memperkasakan UMNO dan memperkukuh perpaduan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Razak yang juga Ketua UMNO Cawangan Felda Jengka 24 memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Penyelaras DUN yang baharu dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Beliau turut menyeru semua Ketua UMNO Cawangan dalam DUN Pulau Tawar agar bersama-sama menyokong dan bekerjasama demi memastikan kelancaran gerak kerja parti serta kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.
“Semoga pelantikan ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh perpaduan, mempertingkatkan khidmat kepada rakyat dan memperkasakan UMNO sebagai wadah perjuangan yang terus relevan,” tambahnya. – UTUSAN










