LAHAD DATU: ‘Walaupun keadilan telah ditegakkan namun kesedihan itu tetap kekal kerana Nazmie tetap tidak akan kembali lagi’.
Itu luahan Siti Hamidah Jumari, 46, ibu kepada Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd. Narul Azwan, 17, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) yang meninggal dunia akibat dibuli di asrama kolej itu pada Mac tahun lalu.
Menurut Siti Hamidah, walaupun reda dengan keputusan itu, kehilangan anak keduanya daripada tiga beradik itu tetap meninggalkan kesan mendalam yang sukar dipadam.
“Arwah seorang anak yang ceria, rumah sentiasa meriah bila dia ada. Kini semuanya berubah. Hanya kenangan yang tinggal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kata Siti Hamidah, kali terakhir dia melawat pusara anaknya adalah sebulan lalu kerana kesibukan kerja namun berhasrat membersihkan kawasan kubur dalam masa terdekat.
“Biasanya kalau tidak sibuk saya akan ke sana. Jalan ke kawasan kubur masih sama, lama tidak dibersihkan. Saya kerja syif malam jadi agak terbatas masa,” jelasnya.
Mengimbas memori bersama arwah, Siti Hamidah menyimpan beg sekolah anaknya sebagai kenangan selain menjadikan gambar Nazmie sebagai latar skrin telefon.
Tambahnya, selepas pemergian Nazmie, hanya beberapa rakan sekolah yang masih berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp manakala guru yang pernah hadir ke rumah hanyalah ketika awal kejadian bagi menyampaikan bantuan insurans dan barang-barang milik arwah.
“Sebagai ibu, orang lain tidak akan rasa apa yang saya rasa. Luka ini tetap ada sampai bila-bila,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang bekas pelajar KVLD manakala 12 lagi pesalah muda yang terlibat dalam kejadian sama dihukum penjara sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertua Negeri. – UTUSAN










