SEPANG: Polis mengesahkan kes pecah rumah saksi utama kes rasuah bekas Menteri Kewangan pada Rabu lalu tiada kaitan dengan kes perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati, kes itu hanya berunsur jenayah.
“Setakat ini, siasatan awal tidak dapat dikaitkan dengan kes perbicaraan yang sedang berlangsung. Kami masih berpegang kepada kejadian jenayah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini hari ini.
Katanya, setakat ini, seramai 16 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Shazeli berkata, buat masa ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes masih disiasat.
Ditanya mengenai dakwaan kononnya tiada barang berharga hilang dari rumah mangsa, Shazeli berkata, pihaknya menafikan perkara itu dan mengesahkan ada barang berharga dilarikan suspek.
Media sebelum ini melaporkan, seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan selepas penyerang masuk ke dalam kediamannya dan melarikan barangan berharga bernilai RM300,000.
Beberapa penjenayah bersenjatakan parang dan memakai penutup muka telah memecah masuk rumah serta melarikan barangan berharga yang disimpan dalam peti besi.
Penjenayah turut mencederakan seorang penghuni, dua pengawal keselamatan serta pemandu peribadi sebelum melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.