Kereta terbabas punca empat sekeluarga maut

Kereta terbabas punca empat sekeluarga maut

MAYAT mangsa kemalangan dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Nahas yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini, hari ini dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki kesemua mangsa terbabas sebelum bertembung sebuah lori.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, penumpang kereta jenis Honda Civic EK, Muhammad Faiz Nor Amran, 32; dan dua anaknya, Muhammad Aryan Fattah, 5, serta Muhammad Ayden Fattah, 4, serta adik kepada Muhammad Faiz, Nor Aina Imra Nor Amran, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri Muhammad Faiz iaitu Tuan Norsyuhada Mohd. Zain, 23, yang merupakan pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati,  kereta dipandu Tuan Norsyuhada sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala Kuala Krai. 

Menurutnya, sejurus selepas tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta jenis Honda Civic EK mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan lanjut. Empat penumpang kereta iaitu Muhammad Faiz, dua anak dan adik perempuan kepada lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN