Kerajaan wajib laksana Titah Adendum – Fadhli Shaari

Kerajaan wajib laksana Titah Adendum – Fadhli Shaari

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa melaksanakan segera Titah Adendum berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak lagi memberi alasan mahupun menangguhkan proses tersebut.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan Peguam Negara dan mengembalikan semula kes ke Mahkamah Tinggi membuktikan titah itu sah, berperlembagaan dan diterima dalam proses perundangan negara.

Menurutnya, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak hujah Peguam Negara, sekali gus menafikan alasan kerajaan bahawa pelaksanaan titah tertangguh kerana kes masih berjalan di mahkamah.

“Jika Perdana Menteri benar-benar berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan, arahan pelaksanaan titah itu sepatutnya telah dibuat sejak awal lagi, bukannya berterusan berdolak-dalih dan memanjangkan drama perundangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, semakan kehakiman oleh Najib bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkait dengan perintah tahanan di rumah akan diteruskan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara berhubung keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Adendum.

Fadhli berkata, tindakan kerajaan yang dilihat tidak konsisten wajar dipersoalkan, apatah lagi Najib kini berdepan perbicaraan berhubung permohonan gag order oleh Peguam Negara, sedangkan tarikh perbicaraan sebenar belum diketahui.

“Rakyat, khususnya ahli dan pemimpin UMNO, wajar mempersoalkan motif sebenar di sebalik kegagalan Kerajaan Madani melaksanakan titah ini. Siapa sebenarnya yang menghalang dan siapa yang berselindung di sebalik Perdana Menteri?

“Cukup-cukuplah mempermainkan mandat Raja. Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal kedaulatan undang-undang, kehormatan institusi diraja dan hak seorang warganegara untuk mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN