KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya piawaian halal negara telah dikompromi bagi memenuhi permintaan Amerika Syarikat (AS) adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, apa yang dipersetujui antara Malaysia dan AS hanyalah langkah memudah cara proses pengimportan daging halal dari negara itu, bukan untuk melonggarkan piawaian halal negara.
“Ini yang mana pensijilan halal akan dilaksanakan oleh badan pensijilan halal AS yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Pematuhan terhadap prinsip syariah kekal sebagai syarat wajib dalam pengimportan daging halal dari mana-mana negara, termasuk AS.
“Mereka tetap perlu memenuhi standard halal Jakim. Sekiranya gagal, produk tersebut tidak akan dibenarkan memasuki pasaran Malaysia,” katanya semasa sidang media kementerian itu berkenaan pengurangan tarif oleh AS di sini.
Mengulas dakwaan yang ditimbulkan oleh segelintir pihak, beliau berkata, kerajaan menegaskan bahawa Malaysia tidak sesekali mengalah dalam isu berkaitan pensijilan halal.
“Kerajaan kekal tegas dan berprinsip dalam perkara ini. Oleh itu, sebarang laporan berkaitan perlu dibuat berdasarkan fakta yang tepat memandangkan isu halal adalah sangat sensitif.
“Oleh itu, kita berharap mana-mana pihak tidak memberikan gambaran yang tidak tepat sebelum menerbitkan sebarang laporan, memandangkan isu ini amat sensitif,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliai berkata, kerajaan melihat tindakan sekatan oleh AS ini sebagai satu peluang untuk kita memperbaiki sistem sedia ada.
“Kita akui bahawa terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dalam proses birokrasi dan beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak AS memberi peluang kepada kita untuk meneliti semula proses-proses tersebut.
“Sesetengah daripada proses itu memang perlu ditambah baik, dan itulah yang sedang kita usahakan,” katanya. -UTUSAN