Kerajaan hadkan kadar keuntungan TNB 7.3 peratus

Kerajaan hadkan kadar keuntungan TNB 7.3 peratus

AKMAL Nasrullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan had keuntungan bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh tiga tahun kekal 7.3 peratus dan lebihan keuntungan perlu dipulangkan semula kepada pengguna melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kadar tersebut adalah sama seperti kadar ditetapkan dalam Tempoh Regulatori Kedua (RP2) pada 2018.

“Jumlah keuntungan yang ditetapkan itu mengambil kira jumlah pelaburan TNB dalam menaik taraf grid nasional untuk menyokong aspirasi ASEAN Power Grid (APG), pembinaan dan penyelenggaraan loji jana kuasa, pemasangan meter pintar, digitalisasi sistem tenaga serta meningkatkan kemasukan sumber tenaga boleh baharu,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah keuntungan tahunan dan tambahan keuntungan yang boleh diperoleh TNB selepas kenaikan tarif elektrik sebanyak 14.2 peratus ke atas sektor komersial,1 Julai lalu.

Bagi tempoh 2018 hingga 2023, TNB telah membayar dividen berjumlah RM15.75 bilion kepada pemegang saham utamanya.

Pemegang saham utama TNB terdiri daripada syarikat-syarikat pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Akmal Nasrullah berkata, pulangan keuntungan lebihan TNB kepada pengguna telah mula dilaksanakan melalui insentif cekap tenaga, khususnya bagi pengguna elektrik di bawah 600 kWh sebulan, serta pengecualian bayaran kos peruncitan bagi kumpulan tertentu.

“Perubahan struktur kos ini mengimbangi semula perbelanjaan pengguna dengan hanya sekitar sembilan peratus kini mencerminkan kos infrastruktur manakala hampir 90 peratus kos terdahulu adalah kos tenaga.

“Dengan perancangan baharu, penekanan diberikan kepada pembangunan infrastruktur tenaga dan perlindungan pengguna. Mekanisme pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik diperkenalkan setiap bulan untuk menggantikan Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT), tetapi tidak melibatkan pengguna domestik.

“Hasilnya, 85 peratus pengguna domestik TNB menikmati penurunan bayaran elektrik pada kadar penggunaan sama,” katanya menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai pulangan keuntungan kepada pengguna.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN