PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan akan terus mengambil pendekatan keadilan dalam setiap dasar dan peruntukan tanpa mengira sama ada membabitkan kaum majoriti atau minoriti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak mahu mana-mana kaum berasa terpinggir termasuk masyarakat India yang kini meluahkan keresahan berhubung aspek penyertaan dalam dasar ekonomi negara.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan mahu mengelakkan dua bentuk ketidakadilan iaitu tyranny of the majority dan tyranny of minority, sebaliknya menekankan pendekatan adil dan seimbang untuk semua kaum.
Tyranny of majority ialah keadaan dalam sesebuah masyarakat menggunakan kekuasaan mereka sehingga menindas atau mengabaikan hak golongan minoriti, manakala tyranny of the minority pula berlaku apabila kelompok kecil minoriti diberi terlalu banyak keistimewaan atau kuasa hingga menjejaskan kepentingan majoriti.
“Kalau nak selamatkan negara ini, kita kena jamin tentunya keadilan bagi majoriti, keadilan bagi minoriti.
“Kita tidak mahu tyranny of the majority. Kita juga tidak mahu tyranny of the minority. Pendekatan itu harus lebih adil.
“Apa-apa kelemahan kita baiki dalam belanjawan (Belanjawan 2026). Kita sekarang dengar semua pandangan, dalam belanjawan kita akan ubah suai dan perbaiki,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, pendekatan Ekonomi Madani bersifat menyeluruh dan tidak meminggirkan mana-mana kaum, sebaliknya berpaksikan keperluan rakyat sama ada Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak.
Anwar berkata, contoh jelas dapat dilihat menerusi Skim Jaminan Pembayaran Perniagaan (SJPP) apabila hampir 75 peratus pinjaman berjumlah RM14 bilion dimanfaatkan komuniti perniagaan Cina kerana penguasaan mereka dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang besar kepada ekonomi negara.
“Masyarakat India pula menerima manfaat melalui skim jaminan kredit perumahan dengan nilai RM1.22 bilion pada 2024, selain Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM972 juta pada tahun depan,” jelasnya.
Dalam masa sama, katanya, program-program yang sebelum ini dikhususkan untuk bumiputera seperti Tekun dan Amanah Ikhtiar turut diperluaskan kepada masyarakat India dengan peruntukan tambahan puluhan juta ringgit, selain peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di dalam dan luar negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, segala langkah itu membuktikan kerajaan tidak pernah memilih kasih berdasarkan bangsa, sebaliknya menyalurkan peruntukan berdasarkan keperluan dan tahap kemiskinan.
“Walaupun jumlah mereka kecil (India), kita jangan ikut sesetengah negara di mana minoriti terus terpelanting. Kita tidak mahu begitu.
“Ada juga pembangkang membangkitkan, bagaimana satu agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Jenayah, itupun 90 peratus Melayu, ketuanya India.
“Bagi saya bukan masalah, siapa yang rasa ada peranan, mampu kendalikan dengan baik, kita tonjolkan,” katanya merujuk kepada pelantikan Datuk M. Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM.
Mengenai Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), Anwar berkata ia juga merupakan program yang lebih bermakna dan bersasar bagi masyarakat bumiputera, bagi membangunkan sosio-ekonomi golongan itu dalam jangka masa panjang selain memastikan penyertaan substantif bumiputera. – UTUSAN