11 bulan lagi tren pertama ERCL Gombak–Kota Bharu

11 bulan lagi tren pertama ERCL Gombak–Kota Bharu

ANTHONY Loke Siew Foke (tengah) menyempurnakan Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco di Stesen ECRL KotaSAS di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Hanya tinggal 11 bulan sebelum projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat sejarah dengan pelancaran tren pertama dari Gombak, Selangor menuju Kota Bharu, Kelantan.  

Projek mega yang menjadi nadi pengangkutan baharu negara itu dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi, sosial dan budaya antara Pantai Timur serta Lembah Klang. 

Dengan jarak 665 kilometer, ECRL bakal memendekkan masa perjalanan yang selama ini mengambil masa berjam-jam melalui jalan darat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat Januari lalu, projek bernilai RM50.27 bilion itu sudah mencapai kemajuan pembinaan 91.70 peratus, selari dengan jadual penyiapan jajaran dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, tumpuan kini beralih kepada persiapan menyeluruh bagi fasa pengoperasian memandangkan ECRL adalah projek rel terbesar di Malaysia serta simbol kerjasama strategik Malaysia–China.

“Projek ECRL sekali lagi mencatat mercu tanda penting dengan ketibaan dua tren Electric Multiple Units (EMU) dan dua buah lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama di Malaysia.

“Majlis pada hari ini bukan sahaja menandakan pencapaian teknikal, malah mencerminkan kerjasama erat, kepercayaan bersama dan dedikasi tinggi antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pemilik Projek ECRL serta China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor utama dalam memastikan piawaian tertinggi dipatuhi bagi pembangunan sistem rel moden di Malaysia,” katanya pada Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco di Stesen ECRL KotaSAS di sini, hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan surat lantikan penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih jajaran ECRL kepada Maxis Berhad.

Siew Fook berkata, pengoperasian komersial tren EMU dan E-Loco yang dijadualkan bermula pada Januari 2027 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, merentasi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer melalui negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor.

Menurutnya, hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mengintegrasikan Pantai Timur dan Pantai Barat secara lebih tersusun melalui ECRL diyakini meningkatkan mobiliti rakyat, mengurangkan masa perjalanan dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Warga Pantai Timur yang berada di Lembah Klang hanya perlu menunggu satu Syawal lagi untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri 2027 menaiki ECRL,” katanya. 

Beliau berkata, dalam aspek keselesaan dan produktiviti pengguna, Kerajaan Persekutuan menyambut baik inisiatif penyediaan infrastruktur rangkaian mudah alih di sepanjang jajaran ECRL. 

“Penyerahan surat lantikan kepada Maxis Berhad sebagai Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL akan membolehkan semua operator mudah alih negara menyediakan perkhidmatan 4G dan 5G kepada penumpang ECRL,” katanya.

Untuk rekod, projek ECRL memperuntukkan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang dan 12 buah E-Loco untuk tujuan kargo daripada syarikat CRRC Dalian. Setakat ini, dua set tren EMU dan dua buah E-Loco sudah selamat tiba di Malaysia akhir Disember lalu.

Setiap set tren EMU mampu beroperasi sehingga kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan kapasiti 425 penumpang bagi konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya. Reka bentuk luaran dan dalaman tren ini diilhamkan daripada seni serta kebudayaan Malaysia dan dilengkapi kemudahan seperti tandas, rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat berserta tempat wuduk serta kemudahan orang kurang upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan penumpang.

Sementara itu, E-Loco ECRL berkeupayaan beroperasi pada kelajuan sehingga 80 km/j dengan keupayaan menarik sehingga 45 gerabak dan kapasiti muatan maksimum sebanyak 3,500 tan bagi setiap perjalanan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN