KUALA LUMPUR: Seramai 21,114 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin hamil sepanjang tempoh 2019 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah tersebut direkodkan di fasiliti kerajaan berdasarkan data yang diterima daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Usaha membendung isu berkenaan telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi inisiatif melibatkan pelbagai aspek termasuk pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, inisiatif kaunseling serta sokongan komuniti.
“Antara inisiatif tersebut termasuk membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat bertanggungjawab,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai statistik terkini mengikut umur, jantina, bangsa dan kes gejala sosial melibatkan remaja di Malaysia termasuk kes kehamilan luar nikah antara 2019 hingga 2025.
Menurut Nancy, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) menyediakan khidmat sokongan untuk remaja melalui Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.
Katanya, KafeTEEN adalah inisiatif LPPKN bagi menyediakan ruang bimbingan dan pendidikan remaja bagi melahirkan remaja yang positif fizikal, mental dan pergaulan sosial.
“Kerajaan melalui KPWKM akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu sebagai usaha memperkasakan keluarga untuk kestabilan sosial.
“Antara teras digariskan adalah untuk memperkasakan keupayaan perancangan keluarga menerusi usaha memperkukuhkan peranan ibu bapa dan remaja.
“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya.-UTUSAN










