Penyasaran subsidi RON95 jimat RM2.5 bilion tahun ini

Penyasaran subsidi RON95 jimat RM2.5 bilion tahun ini

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyasar­an subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi 2026 dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion, tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan itu dicapai hasil ketirisan subsidi yang berjaya dikekang selain kejayaan membendung sindiket penyeludupan ke negara jiran.

Beliau turut menghargai keprihatinan rakyat yang bertindak menegur serta menyalurkan maklumat apabila berlaku cubaan pembelian RON95 oleh warga asing yang disifatkan sebagai cerminan semangat kenegaraan dan jati diri rakyat Malaysia.

“Hasil penjimatan fiskal tersebut diagihkan semula kepada rakyat termasuk bagi membiayai penambahan bantuan khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Bermula 9 Februari lalu, seramai 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad di bawah inisiatif SARA Untuk Semua,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai jumlah penjimatan melalui pelaksanaan Budi Madani (BUDI95) sepanjang 2025 serta unjuran penjimatan bagi 2026 selain bagaimana penjimatan tersebut dimanfaatkan termasuk untuk meringankan kos sara hidup rakyat dan memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan B40 dan M40.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan SARA Untuk Semua turut menjana limpahan ekonomi kepada peruncit tempatan sebagai Rakan Niaga SARA serta pembekal barangan asas termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Katanya, dalam tempoh dua hari pelaksanaan, hampir RM200 juta dibelanjakan oleh dua juta rakyat Malaysia.

“Penyasaran subsidi perlu dilaksanakan memandangkan Kerajaan Madani mewarisi tahap hutang dan defisit yang tidak dibiayai secara mampan selain subsidi pukal yang terus meningkat dan bocor kepada golongan tidak layak.

“Walaupun isu tersebut telah lama dibincangkan termasuk oleh pimpinan terdahulu, ia tidak dilaksanakan kerana ketiadaan tekad politik untuk menggerakkan reformasi bagi memastikan kemampanan fiskal negara.

“Di bawah pentadbiran Madani, kerajaan memilih untuk berdepan realiti dengan melaksanakan penyasaran subsidi secara berfasa tanpa menjejaskan kebajikan rakyat terbanyak,” katanya.

Perdana Menteri berkata, selepas kejayaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel tanpa membebankan majoriti rakyat, penyasaran subsidi petrol RON95 akhirnya dapat dilaksanakan.

Katanya, kerajaan tidak menerima saranan Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi untuk mengapungkan harga serta menyalurkan bantuan tunai hanya kepada golongan miskin kerana pendekatan tersebut tidak mengambil kira cabaran kos sara hidup yang turut dihadapi golongan pertengahan.

“Sekiranya pendekatan itu dilaksanakan, kadar inflasi berisiko meningkat dan menambah beban sara hidup rakyat.

“Oleh itu, kerajaan mengambil pendekatan inovatif berasaskan teknologi digital bagi memastikan subsidi RON95 terus dinikmati rakyat selain mengekang ketirisan kepada warga asing dan sektor komersial.

“Menerusi BUDI95, harga RON95 untuk rakyat ditetapkan pada RM1.99 seliter manakala warga asing dan sektor komersial perlu membayar harga pasaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN