Kepimpinan adalah taklif, bukan tashrif

Kepimpinan adalah taklif, bukan tashrif – Wan Ahmad Farid

WAN Ahmad Farid pada Majlis Meraikan Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berikrar untuk menjaga dan melindungi institusi kehakiman negara dengan sepenuh jiwa dan raganya.

Ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu, beliau tidak boleh mengubah sejarah bahawa beliau pernah terlibat dengan parti politik mahupun menjadi sebahagian daripada kerajaan tambahan pula, ia telah menjadi sebahagian daripada birinya.

“Saya telah melalui kerjaya yang panjang dan pelbagai. Saya telah berkhidmat di ketiga-tiga cabang kerajaan. Saya tidak boleh menghapus sejarah saya, sama ada politik atau sebaliknya dan saya juga tidak mahu menghapusnya. Itulah siapa saya. 

“Tetapi apabila saya memikul amanah yang paling berat ini dan selagi saya menduduki kerusi (Ketua Hakim Negara) ini, saya memberi jaminan tanpa syarat, atas nama Pencipta saya, Bismillahirrahmanirrahim bahawa saya akan melindungi dengan gigih dan menjaga tanpa henti kemerdekaan cabang kerajaan kita dengan sepenuh jiwa dan raga saya,” katanya.

Wan Ahmad Farid berkata demikian pada Majlis Meraikan Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Sebelum menyertai badan kehakiman, Wan Ahmad Farid sebelum ini pernah menjadi peguam dan mempunyai firma guamannya sendiri, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Selain itu, Wan Ahmad Farid turut `mengingatkan’ bahawa menjadi seorang hakim bukanlah satu perkara mudah sebaliknya satu tanggungjawab yang besar.

“Kepimpinan adalah tentang taklif, yang mencerminkan amanah yang berat dan tanggungjawab yang serius. Ia bukan tentang tashrif atau keistimewaan. 

“Walaupun memang satu penghormatan untuk berkhidmat sebagai hakim (tetapi) janganlah kita lupa, walau seketika pun akan tanggungjawab yang amat besar dan akauntabiliti yang datang bersamanya. Ini adalah amanah yang mesti kita pegang teguh dalam melaksanakan tugas kehakiman kita.

“Sebagai seorang hakim, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua orang. Dalam setiap keputusan yang kita buat, sekurang-kurangnya satu pihak (dan kadangkala kedua-dua pihak) tidak akan berpuas hati dengan keputusan kita. Itu adalah perkara yang dijangka.

“Apa pun keputusan kita, jangan kita lupa, kita mesti memastikan pihak yang kalah keluar dari mahkamah kita dengan perasaan puas hati bahawa dia diberi hak untuk didengar, membentangkan bukti, dan diberikan haknya. Jangan menutup pintu mereka,”ujar beliau.

Wan Ahmad Farid mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 di Istana Negara pada 28 Julai lalu menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×