Kepala nyaris bersepai ketika bertempur dengan komunis di Kg. Sepial - Utusan Malaysia

Kepala nyaris bersepai ketika bertempur dengan komunis di Kg. Sepial

KAMARUDIN Li menunjukkan gambar ketika menjalani latihan kawad sebagai anggota Home Guard pada 1955 di Kuala Lipis, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang bekas anggota Pasukan Kawalan Tempatan atau Home Guard tidak dapat melupakan kejadian kepalanya nyaris bersepai semasa mempertahan kedaulatan negara dalam serangan hendap subversif komunis pada 1955 di Kuala Tembeling di sini.

Kamarudin Li, 86, berkata, Allah yang memanjangkan hayatnya kerana dalam serangan tersebut dia hanya mampu mengucap dan menyebut beberapa ayat al-Quran sebagai ikhtiar pelindung daripada dihujani peluru musuh.

“Peristiwa diserang komunis berlaku di Kampung Sepial, Kuala Tembeling pada 1955 ketika berusia 18 tahun dan baharu sahaja menamatkan latihan Home Guard di bandar Kuala Lipis.

“Ketika kejadian, saya bersama seramai 10 rakan Home Guard diketuai Pawang Nong Santan dari Kampung Hulu Cheka membuat rondaan di kawasan hutan kampung tersebut apabila diarahkan oleh seorang pegawai British dari Balai Polis Kuala Lipis,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Telok Kurung, Tanjung Buluh.

Menurut Kamarudin, mereka diarahkan oleh pegawai polis berkenaan meronda di kawasan hutan kampung tersebut kerana komunis kerap membuat kacau dan mengganggu penduduk setempat serta meminta makanan untuk dibawa ke dalam hutan.

Beliau berkata, ketika kejadian pada pukul 9.30 malam itu, dia tidak berasa gentar, tetapi bersemangat apatah lagi ketua mereka (Pawang Nong) sangat dikenali ramai kerana mempunyai ‘kepandaian’.

“Pawang Nong berteriak ‘Allahuakbar’ sambil meminta kami berlindung dalam suasana gelap dan membalas serangan musuh. Dalam keadaan kelam kabut, saya berasa beberapa kali hujung topi dan atas kepala seakan-akan berselisih dengan peluru senapang pengganas termasuk bunyi (peluru) ketika terkena batang pokok,” katanya.

Kamarudin berkata, kejadian peluru berselisih dan melintas atas kepala sentiasa diingati sehingga kini.

Katanya, dalam pertempuran itu, pasukan Home Guard yang cuma berbekalkan senapang jenis Johnson atau dipanggil senapang ‘cap burung hantu’ menembak mati seorang pengganas komunis manakala yang lain lari meninggalkan kawasan itu.

“Mayat pengganas yang berlumuran darah dibawa keluar dan dipamerkan di padang Sekolah Kebangsaan Kuala Tembeling untuk tontonan orang ramai.

“Pada keesokan harinya, Sultan Pahang ketika itu berangkat ke Kuala Tembeling untuk meraikan serta memberikan penghargaan kejayaan pasukan Home Guard dan tidak lama kemudian, saya diundang ke Pekan untuk menerima Anugerah Keberanian Termuda oleh pihak istana,” katanya.

Mengakhiri cerita era komunis, Kamarudin yang digelar ‘Raja Sungai’ oleh penduduk Lipis berkata, walaupun tidak dibayar gaji satu sen pun oleh British, dia tetap puas dan berbangga kerana dapat berbakti untuk nusa dan bangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN