SEREMBAN: Keluarga kepada suspek yang didakwa menikam sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Taman Seri Pagi, Senawang di sini pada 11 Ogos lalu meminta orang ramai menghentikan sebarang komen negatif di media sosial berhubung kejadian yang berlaku.
Abangnya yang berusia 46 tahun memberitahu, orang luar tidak mengetahui perkara sebenar dan punca kejadian.
“Saya harap netizen yang tidak tahu cerita sebenar, hentikanlah komen-komen negatif atas apa berlaku.
“Adik saya pun telah dituduh di mahkamah hari ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kita tunggulah keputusannya nanti,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang merupakan anak bongsu daripada 15 beradik adalah seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga kerana sanggup membuat tiga pekerjaan bagi menyara isteri dan dua anaknya yang berusia empat dan lapan tahun.
“Pada waktu pagi dia bekerja sebagai tukang masak, petang dia jadi penghantar makanan manakala malam pula dia buat kuih untuk isterinya berniaga pada pagi esoknya.
“Kami tahu dia memang utamakan keluarga dan seorang adik yang baik,” katanya.
Walaupun terkejut dengan kejadian yang berlaku, dia berkata, keluarga percaya ada hikmah disebaliknya.
Selain itu ujarnya, pihak keluarga juga akan melantik peguam dalam waktu terdekat bagi membantu adiknya dalam proses pendakwaan di mahkamah.
Terdahulu, tertuduh, Zulazren Zakariah, 31, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dengan menikam seorang lelaki di Taman Seri Pagi, Senawang di sini pada 11 Ogos lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Sebelum ini media melaporkan, pada 11 Ogos lalu seorang lelaki berstatus duda maut ditikam dalam kejadian di pekarangan rumah keluarganya di Taman Seri Pagi, Senawang di sini dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
Pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 6.50 petang yang mana mangsa berusia 28 tahun telah ditikam oleh seorang suspek lelaki berusia 31 tahun.
Hasil siasatan polis mendapati mangsa mengenali isteri suspek dan mereka dikatakan mempunyai hubungan sulit. – UTUSAN










